suria

Seorang Pelancong Asing Sesat Maut Akibat Sakit Jantung

SEGAMAT: Seorang daripada lima pelancong asing yang sesat sejak semalam di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis telah berjaya ditemui oleh pasukan pencari dan penyelamat kira-kira 10 pagi tadi.

Bagaimanapun menurut pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Segamat Mohd Nazlan Ruslan, seorang daripada pelancong asing yang sesat itu didapati telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan sakit jantung.

"Salah seorang pelancong asing telah memaklumkan kepada kami bahawa rakan mereka telah meninggal dunia akibat sakit jantung ketika mereka berada di dalam hutan itu semalam," katanya kepada Bernama, Khamis.

Katanya kelima-lima pelancong asing itu dipercayai berasal daripada Australia, United Kingdom dan Afrika Selatan dan dikenali sebagai Jonathan, Alan Chadwich, Mark Linnegar, Chris Birchill dan James Fraser.

Pelancong asing yang meninggal dunia itu katanya, adalah Birchill dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Daerah Segamat menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Empat pelancong asing yang lain itu turut dibawa ke hospital yang sama untuk pemeriksaan kesihatan tetapi menggunakan jalan darat.

Menurut Mohd Nazlan, operasi menyelamat oleh pelbagai agensi kerajaan itu dimulakan pada 5 petang semalam sejurus selepas mereka menerima laporan tentang kejadian yang menimpa kumpulan pelancong asing itu.

Kumpulan pelancong asing itu mula memasuki hutan lipur itu pada 9 pagi semalam, katanya.

"Pasukan penyelamat dapat berhubungan dengan kumpulan pelancong asing itu menggunakan telefon bimbit, tetapi kita tidak dapat menentukan kedudukan mereka dengan tepat disebabkan keadaan hutan yang amat tebal," katanya.

Hutan Lipur Sungai Bantang terletak di dalam Hutan Simpan Labis, dan kerap dikunjungi oleh pengunjung yang berminat dengan aktiviti perkhemahan, merentas hutan, berkelah serta melihat pelbagai spesis burung.

Hutan Lipur itu terletak kira-kira lapan kilometer daripada pekan Bekok menggunakan jalan raya Yong Peng-Labis. - BERNAMA

Artikel Lain