suria

Dewan Rakyat Tolak Usul Bahas Penggantungan Tugas Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin menolak usul bagi membincangkan penggantungan ke atas pakar Undang-Undang Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama, Ogos lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, usul itu ditolak kerana ia tidak perlu disegerakan.

"Isu penggantungan itu adalah antara soal individu dan universiti...dan tindakan terhadap seseorang oleh universiti adalah perkara biasa. Jadi saya rasa tak elok kalau perkara ini dibincangkan di dalam Dewan Rakyat," katanya selepas mengumumkan keputusan itu.

Usul berkenaan dikemukakan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) menggunakan peraturan mesyuarat 18(1) pada Jumaat lalu.

Salahuddin berkata,walaupun usul itu ditolak, ia akan dibangkit pada sesi perbahasan Bajet 2012 di peringkat jawantankuasa.

"Penggantungan Dr Abdul Aziz daripada tugasnya adalah isu penting kerana pandangan beliau telah dijadikan satu modal politik oleh pihak tertentu. Beliau menjadi mangsa kepada permainan ini.

"Adakah adil kita bersetuju dengan tindakan UIA atas dasar autonomi universiti. Rakyat Malaysia perlu bangun dan tegakkan keberanian ," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Isnin.

Beliau berkata, pandangan yang dinyatakan Dr Abdul Aziz dalam portal Malaysia Kini adalah berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang undang-undang.

"Jika pendapat itu dianggap kurang ajar atau derhaka, ia adalah pandangan yang naif. Sebelum ini ada juga pemimpin negara yang mengeluarkan kenyataan lebih jelek," katanya.

Salahuddin berkata, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus berjuang untuk menuntut keadilan bagi Dr Abdul Aziz bukan atas dasar pro pembangkang tetapi mengiktiraf integriti beliau sebagai seorang pakar Perlembagaan Undang-Undang tersohor.

Artikel Lain