suria

Mahkamah Rayuan Kekalkan Hukuman Ke Atas Graduan Bunuh Bekas Kekasih 7 Tahun Lalu

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang graduan ekonomi atas pembunuhan bekas teman wanitanya Norzi Ayu Mohd Noor, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim iaitu Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuan Irawadi Mohammad, 30, seorang graduan ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menolak keputusan sebuah mahkamah tinggi bagi sabitan dan hukuman mati ke atasnya.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 November 2009 kerana membunuh seorang penyelidik perubatan berumur 27 tahun di rumah bekas teman wanitanya di 2-1-6, Block ST2, Apartmen Sri Tanjung, Jalan 7/1D di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi antara 3.30 petang dan 5 petang 26 Julai 2004.

Mangsa berkasih dengan Irawadi, selama dua tahun semasa menuntut di UKM tetapi berpisah sebelum insiden itu berlaku.

Mangsa telah berkenalan dengan orang lain selepas perpisahan mereka.

Keterangan seorang saksi menunjukkan bahawa Irawadi pernah menyebut "jika aku tidak boleh mendapatnya, orang lain tidak boleh."

Laporan bedah siasat dan testimoni ahli patologi forensik mengesahkan kematian Norzi Ayu akibat kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan kepada saluran darah utama dalam abdomen yang disebabkan ditikam dengan senjata tajam.

Dalam keputusannya, Hakim Zaleha berkata panel hakim tidak bersetuju dengan pandangan peguam Irawadi, Hisyam Teh Poh Teik bahawa terdapat perbicaraan yang silap kerana hakim ketiga yang mengendalikan kes, Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa telah memutuskan bahawa pihak pendakwa telah membuktikan kes prima facie terhadap Irawadi sedangkan telah ada keputusan awal oleh hakim yang lain.

Keterangan 20 saksi pendakwaan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada masa itu Datuk K.N.Segara (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Hujahan yang dibuat oleh pihak pembela dan pendakwa di akhir kes pendakwaan kemudiannya didengar oleh seorang lagi hakim iaitu Hakim Nallini Pathmanathan selepas Hakim Segara memindahkan kes itu kepada Nallini dengan persetujuan pihak pendakwaan, pembela dan Irawadi.

Hakim Mohd Yazid mengambil alih pendengaran kes itu sebaik berpindah ke mahkamah itu.

Hakim Zaleha berkata, rekod-rekod menunjukkan bahawa hakim kedua yang mengendalikan kes membuat keputusan satu kes prima facie dan hakim yang ketiga tidak membuat satu lagi keputusan prima facie sebaliknya beliau mengambil alih kes itu yang ditinggalkan hakim kedua yang mendengar kes berkenaan.

Irawadi diwakili Hisyam dan Imran Hadzalie Abdul Hamid manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof. -BERNAMA

Artikel Lain