suria

Curi Kenderaan: Polis Tahan Tiga Lelaki

JOHOR BAHARU: Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan memiliki dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Johor Jaya, di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka berumur 19 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 malam selepas polis mendapat maklumat berkaitan jenayah yang dilakukan mereka.

Polis turut merampas tiga buah kenderaan yang masing-masing dilaporkan hilang di Taman Setia Indah dan Nusajaya, di sini, dan di Kuantan, Pahang, dua paket plastik lut sinar mengandungi ketulan syabu, 106 biji pil khayal dan serangkai kunci kenderaan dalam serbuan berkenaan, katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata semakan rekod lampau mendapati tiga lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod berkaitan dadah, menceroboh rumah dan mencuri.

Beliau berkata kelima-lima suspek itu kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menggagalkan cubaan menyeludup rokok selepas merampas 20,750 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM2.2 juta di kawasan perkuburan Cina, dekat Saleng, Kulaijaya, dua hari lepas.

Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, beberapa suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis dan hasil pemeriksaan ke atas tujuh kenderaan termasuk sebuah lori, polis menemui rokok berkenaan.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis dapat menyelesaikan kes kehilangan kereta membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura di kawasan Permas Jaya, di sini pada 5 petang 15 Okt lepas dan ditemui semula 12.30 tengah malam 18 Oktober lepas di kawasan perumahan Taman Johor Jaya, di sini, bersama dua beg berisi peralatan permainan golf milik mangsa.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan meminta lelaki Singapura berumur 62 tahun itu ke IPK Johor untuk mengenal pasti kenderaannya serta memberikan keterangan berhubung kejadian berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain