suria

Samun: Polis Tahan Tiga Lelaki, Buru tiga Lagi

KUANTAN: Polis berjaya menahan tiga lelaki dan sedang memburu tiga lagi yang dipercayai terlibat dalam dua kes samun berasingan di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Superintenden Nordin Mustapha berkata, kejadian samun pertama berlaku di Terminal Makmur Kuantan membabitkan tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, dalam kejadian 3.30 pagi itu, dua warga Bangladesh berusia 20-an yang baru tiba dari Kuala Lumpur menjadi mangsa didatangi tiga suspek berkenaan berusia berusia 22, 29 dan 30 tahun. "Suspek membawa ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta dan meninggalkan mereka di sebatang jalan berhampiran Taman Guru di sini setelah merampas beg pakaian dan wang tunai RM250 milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Nordin berkata tindakan pantas polis bagaimanapun berjaya menahan ketiga-tiga suspek kira-kira pukul 5 pagi di sekitar Kuantan dan kesemua barangan milik mangsa dijumpai semula kecuali wang tunai di samping polis menemui dua bilah pisau bersama suspek. Beliau berkata polis juga sedang mengesan tiga suspek lelaki yang menyamun seorang peniaga di Jalan Wong Ah Jang di sini dalam satu kejadian lain sebelum itu pukul 11 malam.

Katanya, dalam kejadian itu mangsa berusia 43 tahun sedang berjalan berseorangan ditendang tiga lelaki berkenaan hingga terjatuh dan bertindak merampas wang tunai RM500 daripada poket mangsa. Mangsa yang cedera di muka menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain