suria

Masih Terdapat Pengusaha Taska Di Johor Tidak Sediakan Pengawal Keselamatan

MUAR: Kerajaan negeri Johor kesal dengan sikap pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang masih tidak mengendahkan saranan supaya menyediakan pengawal keselamatan di premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai berkata saranan dibuat ekoran kejadian pecah masuk seorang lelaki ke atas sebuah Tadika di Sungai Abong di sini Julai lepas dengan menjadikan 30 kanak-kanak di Tadika terbabit sebagai tebusan selama tujuh jam.

"Saranan telah dibuat malangnya pengusaha Tadika masih bersikap dingin dengan belum menyediakan khidmat pengawal keselamatan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan pertandingan Tunas Permata Perpaduan 1Malaysia peringkat negeri di sini, Selasa.

Dr Robia yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Balang menegaskan pengusaha Taska perlu sentiasa berwaspada terhadap perkara yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak supaya insiden yang sama tidak berulang.

Ketika berucap di majlis berkenaan beliau meminta ibu bapa supaya menekankan budi pekerti di kalangan anak-anak mereka di samping kecemerlangan dalam pendidikan.

"Kita tidak mahu timbul masalah generasi muda tidak menghormati orang tua seperti yang melanda masyarakat barat akan berlaku di negara kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain