suria

Kementerian Pelajaran Jamin Masalah Kerosakan Sekolah Selesai Tahun Depan

TUMPAT: Kementerian Pelajaran memberi jaminan masalah kerosakan bangunan sekolah di seluruh negara akan dapat diatasi sepenuhnya tahun depan.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata proses membaiki kerosakan di 2,206 buah sekolah terbabit dapat dipercepatkan menerusi peruntukan RM500 juta yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

"Pihak kementerian telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memeriksa dan memantau kerosakan fizikal dan pendawaian terhadap bangunan sekolah terlibat yang kebanyakannya sekolah menengah dan rendah di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Mohd Puad berkata hasil kajian mendapati enam peratus dikategorikan rosak teruk meliputi kerosakan pada bangunan asrama, kantin, bilik guru dan dewan.

Sementara itu, ditanya mengenai yuran tambahan sekolah yang tidak seragam di antara sekolah di seluruh negara, beliau meminta pihak sekolah berunding dengan persatuan ibu bapa dan guru bagi menyelesaikannnya.

Ini kerana kata beliau, kedudukan sesebuah sekolah dan taraf hidup ibu bapa di sesuatu kawasan tidak sama termasuk antara kawasan bandar dan luar bandar. - BERNAMA

Artikel Lain