suria

Taktik Baru Warga Iran Seludup Dadah, Sorok Dalam Botol Semburan

SHAH ALAM: Polis mengesan satu lagi taktik baru penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh warga Iran iaitu dengan menyorok dadah di dalam botol semburan.

Cara ini dikesan apabila enam warga Iran termasuk lima wanita berumur antara 20 hingga 47 tahun ditahan pada 6 Oktober lalu bersama 5.37 kg dadah disyaki syabu dengan cara menyoroknya di dalam 12 botol semburan rambut dan badan.

"Jika dilihat botol semburan itu biasa sahaja, tetapi terdapat saluran tiub yang diubah suai fungsinya.

"Bila ditekan muncung penyembur itu keluar cecair, tetapi pemeriksaan lanjut menemui ketulan kristal dadah disyaki syabu yang dibungkus dan diletakkan di bahagian bawah saluran tiub itu," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata, seterusnya pada 8 Oktober, polis menahan seorang peniaga lelaki warga Nigeria berumur 22 tahun bersama 0.39 kg dadah disyaki syabu yang disorokkan pada pemegang kiri dan kanan dua buah bagasi yang dibawanya.

Pada keesokan harinya (9 Oktober), seorang lagi peniaga lelaki warga Nigeria ditahan bersama empat bungkusan dadah disyaki syabu seberat 5.69 kg yang disorokkan di bahagian pelapik dalam kiri dan kanan dua bagasi yang dibawanya, katanya.

Nordin berkata pada hari yang sama, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun bersama lapan bungkusan berisi dadah disyaki syabu seberat lima kilogram yang disorokkan di dalam sebuah bagasi.

"Modus operandi baru ini dikesan di mana warga asing bawa dadah masuk ke negara ini tetapi tidak membawanya keluar. Mereka dipercayai mengupah warga tempatan untuk bawa keluar dadah itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagaimana suspek boleh masuk ke kawasan KLIA dan ambil bagasi tersebut yang diletakkan di bahagian hilang dan jumpa," katanya.

Kesemua dadah tersebut seberat 16.5 kg dan bernilai RM4.13 juta.

Nordin berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain