suria

Polis Temui Dua Butir Peluru Di Rumah Ejen Hartanah

KUALA LUMPUR: Polis menemui dua butir peluru jenis 9mm yang diletakkan di dalam peti surat rumah seorang ejen hartanah di Jalan P.Ramlee, Setapak di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata peluru itu ditemui hasil aduan ejen hartanah berumur 62 tahun itu, yang menghubungi polis sebaik menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali kira-kira 7.30 pagi.

"Pemanggil itu memberitahu ejen hartanah itu bahawa terdapat dua butir peluru diletakkan di dalam peti suratnya," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, malam Selasa.

Zakaria berkata polis bersama Unit Forensik pergi ke rumah lelaki itu dan mendapati dua butir peluru berkenaan yang diletakkan di dalam sampul berwarna coklat.

"Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah. Kita juga sedang mengkaji motif kejadian," katanya.

Beliau berkata ejen hartanah itu tinggal di rumah berkenaan sejak 23 tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain