suria

Terbit Setem Pejuang Bukit Kepong - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia dicadang mengabadikan gambar anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong pada 1950 menerusi 'setem peringatan' bagi memperingati jasa dan sumbangan mereka.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata, setem peringatan itu penting dalam usaha mendidik masyarakat mengenali kumpulan pejuang kemerdekaan itu.

"Kalau biasa kita lihat ada setem bekas Perdana Menteri, atau memperingati sambutan tertentu...baik Pos cetak setem memperingati pejuang merdeka.

"Bagus kalau Pos Malaysia boleh keluarkan setem pejuang kemerdekaan termasuk para pejuang tragedi Bukit Kepong," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011.

Selain itu Ibrahim berkata penerbitan setem seumpama itu juga mampu memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk mengenali pemimpin dan pejuang negara.

"Apa salahnya abadikan gambar pemimpin-pemimpin dalam setem. Suatu hari nanti saya pun nak kalau gambar Ibrahim Ali dalam setem.

"Elok juga kalau gambar Ahli Parlimen Pasir Salak (Datuk Tajuddin Abdul Rahman) pun ada dalam setem," katanya.

Dalam pada itu Ibrahim turut mencadang agar sebuah pejabat pos disediakan di setiap kampung bagi memudahkan masyarakat luar bandar menggunakan kemudahan yang disediakan.

"Diharapkan perkhidmatan pos yang lengkap dapat disediakan di kampung-kampung agar mereka dapat menggunakan faedah yang disediakan sebaik mungkin," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain