suria

Ku Li Pertahan Video 'Undilah'

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan video kontroversi pengumuman perkhidmatan awam (PKA) bertajuk 'Undilah' walaupun mendapat reaksi negatif apabila dikatakan mengandungi babak yang tidak disenangi ramai.

Menyifatkan video berkenaan sebagai 'bagus' kerana boleh menjadi salah satu medium untuk menyeru masyarakat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, Tengku Razaleigh berkata ia merupakan satu langkah baik terutama bagi mendekati generasi muda.

"Video itu mempunyai pesanan yang bagus untuk masyarakat.

"Saya diminta bagi kenyataan untuk seru rakyat untuk mendaftar...terutama sekali banyak muda-mudi golongan melayu tak daftar, tapi kaum cina ramai, jadi saya tampil kedepan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Veteran Umno itu adalah antara yang muncul dalam video berkenaan yang menampilkan 40 personaliti termasuk ahli-ahli politik dari Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, artis tempatan termasuk personaliti sukan.

Video selama 4 minit 38 saat arahan pemuzik Pete Teo yang dilancarkan sempena Hari Malaysia itu bertujuan menyeru rakyat untuk mendaftar sebagai pengundi.

Dalam pada itu diminta mengulas sekiranya video berkenaan yang kini disiarkan menerusi laman YouTube ditarik balik selepas menerima bantahan pelbagai pihak, Tengku Razaleigh berkata tindakan tersebut bergantung kepada pihak berkuasa.

"Bagi orang yang nak haramkan video itu kalau dia ada kuasa dia haramkanlah," katanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menyatakan klip video "Undilah" belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain