suria

MCA Yakin Tranformasi Kerajaan Mampu Raih Sokongan Rakyat

KUALA LUMPUR: MCA melahirkan keyakinan usaha kerajaan melakukan pelbagai transformasi dan perubahan akan membolehkan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat sokongan padu rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini kerana transformasi yang dilakukan seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah mula menampakkan hasil.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengambil langkah positif untuk membawa transformasi yang menyeluruh dan bermakna kepada negara kita seperti transformasi ekonomi, menambah baik kecekapan perkhidmatan awam dan pembaharuan sistem sosial," katanya.

Turut dilaksanakan ialah transformasi politik supaya negara menjadi lebih demokratik dan suara rakyat sentiasa diutamakan dalam pelaksanaan segala dasar kerajaan, katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Kebangsaan ke-47 di Pusat Konvensyen HGH di sini, Sabtu.

Liow berkata keberanian Najib menunaikan janji yang dibuat semasa baru menjadi perdana menteri, seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Buang Negeri dan pembaharuan permit penerbitan, mendapat pujian semua pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Dalam pada itu, Liow yang juga Menteri Kesihatan membidas pembangkang terutamanya DAP yang didakwa sering mencari nama atas apa jua usaha yang dilakukan MCA. "Kita perlu membongkar wajah sebenar parti-parti pembangkang supaya rakyat dapat melihat bagaimana pemimpin mereka seperti Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) yang pandai menyalahkan orang lain, cakap tak serupa bikin dan hanya pandai mencari nama.

"Mereka tidak dapat melakukan apa-apa dan tidak mahu membuat sesuatu yang baik untuk rakyat. Perubahan adalah hasrat rakyat, tetapi perbuatan parti pembangkang bercanggah dengan hasrat rakyat dan membelakangi amanah rakyat," katanya.

Sementara itu, Liow mencabar DAP supaya keluar daripada gabungan pakatan pembangkang yang turut dianggotai PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

"Saya juga memberi amaran kepada DAP supaya tidak membawa masyarakat Cina ke jalan buntu. Bak kata pepatah, 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna'.

"Segalanya sudah lambat jika hukum hudud dilaksanakan," katanya.

Turut hadir Ketua Pemuda BN dan juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong. -BERNAMA

Artikel Lain