suria

Ugut Wanita: Kelindan Lori Didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori pada Khamis didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mengugut seorang wanita menggunakan sebilah parang pada April lepas.

Vekeneswaran, 20, didakwa melakukan ugutan terhadap Monica Mary Albert dengan perkataan "You tunggu la, lepas saya keluar you mati" di PPR Taman Wahyu 2, Sentul di sini kira-kira 7.45 malam pada 18 April lepas.

Mengikut fakta kes, Monica yang ketika itu berada di rumah bersama abangnya telah didatangi sekumpulan lelaki India termasuk seorang yang dikenali Boy (nama panggilan Vekeneswaran) yang membawa parang memanggil nama mangsa dan menyuruhnya keluar.

Vekeneswaran marah kepada Monica kerana dikatakan telah melaporkan kepada polis bahawa tertuduh seorang penagih dadah sehingga dia ditangkap oleh polis tiga minggu sebelum kejadian itu.

Vekeneswaran didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chew Zi Xian di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain