suria

MTUC Gesa Kerajaan Gubal Undang-Undang Faedah Persaraan Swasta

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Khamis meminta kerajaan agar menggubal undang-undang berkaitan faedah persaraan untuk pekerja sektor swasta.

Pengerusi MTUC Selangor N. Gopal Krishnam berkata pada masa ini tidak ada peruntukan mengenai perkara itu dalam akta sedia ada.

Pesara sektor swasta hanya mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berbanding rakan dari sektor awam yang menikmati pelbagai faedah lain seperti gratuiti dan perkhidmatan perubatan percuma, katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta yang disifatkannnya sebagai langkah baik.

Pada masa yang sama, Gopal Krishnam berkata MTUC Selangor menyarankan agar cadangan melanjutkan umur persaraan itu disertakan dengan syor pembayaran gratuiti.

MTUC Selangor katanya, mencadangkan agar mereka yang bekerja kurang daripada dua tahun dibayar gaji untuk 10 hari bagi setiap tahun perkhidmatan, 15 hari gaji bagi yang lima tahun dan 20 hari untuk mereka yang berkhidmat lebih lama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain