suria

Mangsa Terkejut Dengar Letupan

PETALING JAYA: "Saya terkejut apabila mendengar letupan, rasa seperti dalam filem," kata seorang mangsa letupan di pusat membeli-belah Empire Gallery di sini, Rabu.

Daryl Chua Chin Hong, 27, dari Sri Hartamas, ketika itu bersama teman wanitanya Hibbie Tan Wern Fang, 23, sedang membayar kupon letak kereta sekitar pukul 3.30 pagi ini.

Chua yang ditemui di tempat kejadian berkata sebelum kejadian, beliau dan teman wanitanya sedang berbual berhampiran kereta yang diletakkan di hadapan pusat beli-belah itu.

"Tiba-tiba kami terdengar bunyi letupan...kami tercampak dan melayang ke belakang...saya juga melihat beberapa sudut bangunan terbakar dan cermin kedai pakaian pecah dan banyak benda berterbangan," katanya.

Chua berkata keretanya jenis Volkswagen manakala kereta teman wanitanya jenis Honda City turut mengalami kerosakan akibat letupan itu.

"Bimbang perkara lebih buruk berlaku, saya angkat Hibbie ke kawasan yang lebih selamat," katanya.

Mereka mengalami kecederaan di badan, tangan dan kaki dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Letupan pada awal pagi di pusat membeli belah Galeri Empire yang dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas itu menyebabkan empat orang cedera ringan. Dua lagi yang cedera ialah pengawal keselamatan rakyat Nepal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.45 pagi dan 50 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas dari aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan dalam pasar raya itu.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Buat masa ini, kami tidak benarkan orang ramai memasuki pasar raya ini. Kebocoran dah dapat dikawal, cuma sekarang kami sedang siasat lebih terperinci mengenai puncanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kira-kira 300 orang awam yang menginap di hotel berdekatan pasar raya itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga dan sehingga pukul 4 petang ini, kesemua mereka belum dibenar memasuki hotel itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain