suria

Perjudian Haram: 30 Komputer Dirampas

MELAKA: Polis dan pihak berkuasa tempatan merampas 30 buah komputer di sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti mesin judi berkomputer di Taman Bunga Raya di sini, Jumaat.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata operasi bersepadu yang betujuan membanteras aktiviti mesin judi berkomputer merupakan hasil maklumat orang awam. "Berdasarkan maklumat orang awam dan rekod polis, premis tersebut telah diserbu sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan bulan ini kerana menjalankan aktiviti haram tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Chuah berkata semasa serbuan dilakukan kira-kira pukul 6.15 petang semalam, premis tersebut didapati berkunci dan polis terpaksa mendapatkan waran geledah daripada mahkamah kerana pemilik premis itu gagal dihubungi oleh pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Beliau berkata walaupun ketika serbuan dilakukan tiada aktiviti perjudian dijalankan namun polis menyiasat kes tersebut di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun kepada pemiliknya.

"Kalau tiada bukti kukuh komputer tersebut digunakan untuk perjudian, pihak MPHTJ akan mengambil tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2001 kerana menjalankan kegiatan tanpa lesen," katanya.

Chuah berkata pihak MPHTJ telah mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB)dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis tersebut.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang memandang serius tentang aktiviti perjudian di Melaka turut menyertai operasi berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain