suria

Penglibatan Golongan Muda Dalam Kerajaan Tempatan Beri Nafas Baru - Abdul Taib

KUCHING: Kerajaan-kerajaan tempatan di Sarawak akan diberi nafas baru dengan melibatkan generasi muda, satu tindakan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan, bagi membantu negeri itu melakukan transformasi sosial, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata proses penyusunan semula bagi memberi nafas baru jentera pentadbiran itu akan dilaksanakan sebaik sahaja rombakan Kabinet negeri yang telah lama dijangkakan itu diumumkan minggu depan.

"Beginilah seriusnya kami (kerajaan negeri) mempertimbangkan transformasi yang perlu dilakukan dan dasar sosial yang perlu dibangunkan dengan melibatkan generasi muda, yang mempunyai niat baik untuk menyumbang kepada masyarakat kita," katanya semasa berucap pada istiadat perbarisan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Padang Merdeka di sini, Sabtu.

Abang Muhammad Salahuddin turut hadir menyaksikan perbarisan berwarna-warni yang disertai 90 kontinjen terdiri daripada 1,500 peserta sektor awam dan swasta, serta pelajar sekolah dan kumpulan belia.

Turut diadakan persembahan kebudayaan.

Taib berkata generasi muda yang mempunyai potensi kemahiran kepimpinanan terutamanya di peringkat akar umbi perlu menampilkan diri, tanpa mengira pandangan atau pembabitan politik mereka, demi menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat, khususnya di Sarawak.

Beliau berkata adalah tidak cukup hanya untuk mengkritik kerajaan sedia ada kerana adalah penting juga untuk berkhidmat kepada rakyat menerusi tindakan membina yang boleh memajukan negeri ini.

Katanya kejayaan Sarawak bergantung kepada kesungguhan kerajaan untuk terlibat dalam dasar-dasar kerajaan yang sepatutnya diterjemahkan dalam pemikiran dan bukan hanya penyediaan pembangunan infrastruktur fizikal.

Mengenai sambutan itu, Taib melahirkan rasa syukur kerana bersama-sama Abang Muhammad Salahuddin, kedua-dua mereka telah memainkan peranan dan mencapai usaha pembentukan Malaysia 48 tahun lepas.

Selepas acara perbarisan itu, Abang Muhammad Salahuddin menganugerahkan darjah dan pingat kebesaran negeri pada satu majlis yang diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri di Petra Jaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain