suria

Kemajuan Teknologi Mudahkan Jenayah Berlaku

PENDAKWAAN terhadap dua warga asing dan seorang wanita tempatan yang menipu syarikat komunikasi bagi mendapatkan kad sim ganti yang akan digunakan dalam penipuan wang menerusi Internet pada Jumaat, menunjukkan bagaimana mudahnya kemajuan teknologi boleh disalah gunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Walaupun pihak bank mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi menjamin rahsia akaun pelanggan, golongan-golongan 'terlebih bijak' teknologi maklumat seolah-olah sentiasa mendapat idea baru bagi menceroboh segala sistem canggih yang digunakan oleh pihak-pihak bank.

Lebih mengejutkan, mereka yang didakwa, iaitu Rana Aidil Hayat, 24, yang berasal dari Pakistan, Ibrahim Koroma, seorang rakyat Sierra Leone dan juga wanita tempatan Adeline Audrey Lesslar masing-masing berusia dalam lingkungan 20an - satu usia yang masih boleh dianggap mentah untuk terlibat dalam jenayah komersial terancang.

Ibrahim dan Adeline - masing-masing berusia 27 tahun juga bukan calang-calang orang kerana mereka merupakan lulusan ijazah, malah Ibrahim yang merupakan lulusan komputer sains kini sedang menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, hasrat Ibrahim untuk berbuat demikian sudah terbantut apabila dia ditangkap bersama enam lagi di beberapa lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya setelah disyaki terbabit dalam sindiket penipuan wang melalui Internet yang didakwa didalangi oleh warga Afrika.

Berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, sindiket terbabit mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa melalui taktik yang dipanggil sebagai 'phising'.

Menurut Syed Ismail lagi, suspek memperoleh maklumat mangsa yang dimuat turun melalui perisian yang dipasang pada kiosk dalam bank yang menjalankan perbankan Internet.

Sindiket berkenaan yang dikatakan telah terlibat dalam 12 kes penipuan yang melibatkan kerugian bernilai RM242,321.14 - angka yang besar jika diambil kira dengan tempoh mereka mula beroperasi, iaitu awal tahun ini.

Rana, Ibrahim dan Adeline didakwa atas tuduhan menipu pekerja perkhidmatan pelanggan Celcom dan Maxis, yang merupakan syarikat telekomunikasi terkemuka negara untuk mendapatkan kad sim ganti.

Semasa mula mendengar pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Aslam Zainuddin, penulis dan rakan-rakan media bertanya sesama sendiri apakah relevannya perbuatan mereka untuk mendapatkan kad sim ganti milik individu lain.

Persoalan tersebut yang bermain-main di fikiran sepanjang prosiding berlangsung menyebabkan pihak media 'menerjah' pegawai-pegawai JSJ yang berada di galeri mahkamah untuk mendapatkan jawapan sebaik sahaja pendakwaan tamat.

Difahamkan, kad sim ganti tersebut akan digunakan tanpa pengetahuan pemilik asalnya untuk mendapatkan kod kuasa transaksi (TAC) wang dari akaun mangsa - yang merupakan satu daripada langkah keselamatan daripada pihak bank dalam menjalankan aktiviti perbankan Internet.

TAC tersebut kemudiannya akan digunakan untuk membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga yang dimiliki oleh anggota kumpulan menerusi sistem perbankan Internet atau Western Union tanpa pengetahuan mangsa.

Sebelum mendapatkan kad sim ganti, mereka ini juga didakwa akan menghubungi pemilik asal kad sim untuk memaklumkan bahawa akan berlaku gangguan perkhidmatan selama beberapa jam atas sebab-sebab teknikal - yang pada hemat penulis akan memberikan masa kepada mereka sebelum perbuatan itu disedari oleh mangsa.

Media juga difahamkan, pendakwaan terhadap Rana, Ibrahim dan Adeline adalah siri satu dan dijangkakan akan diikuti dengan pendakwaan-pendakwaan selanjutnya.

Kini mereka perlu bersedia untuk 'berjuang' di mahkamah bagi membuktikan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali, atau jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah, mereka boleh berhadapan dengan hukuman penjara.

Bagi tuduhan menipu untuk mendapatkan kad sim ganti, mereka kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman denda, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perjalanan kes di mahkamah baru bermula dan mungkin Ibrahim perlu menunggu lebih lama sebelum dapat melanjutkan pelajaran, manakala Rana yang mendakwa dirinya telah mendaftar dalam program pemutihan tempoh hari, mungkin akan kehabisan tempoh lanjutan enam bulan yang diperolehnya.

Tidak dinafikan, penulis juga tergolong dalam mereka-mereka yang gemar menjalankan transaksi perbankan Internet, yang sememangnya lebih mudah dan menjimatkan masa, tanpa perlu beratur panjang di kaunter atau memeningkan kepala mencari tempat letak kereta.

Walaupun kejadian seperti di atas berlaku, ia tidak melunturkan kepercayaan penulis untuk meneruskan perbankan Internet, kerana sudah pasti pihak bank akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi segala kelemahan yang ada.

Yang penting, kita semua perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga sekiranya menerima panggilan daripada individu-individu yang mendakwa dirinya daripada syarikat komunikasi dan mahu mendapatkan maklumat peribadi.

Tidak ada salahnya jika kita 'menyoal siasat' pemanggil berkenaan untuk memastikan kesahihan identitinya atau jika perasaan ragu-ragu bersarang di hati, lebih baik untuk kita menamatkan perbualan dengan cara yang baik.

Walaupun pelakuan tersebut mungkin tidak disenangi oleh si pemanggil, ia adalah lebih baik daripada menepuk dahi apabila melihat baki akaun sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain