suria

Pekadin Sokong Kelas Pendidikan Khas Di Hospital Perempuan Likas

TUARAN: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (Pekadin) menyifatkan hasrat Jabatan Pelajaran Sabah untuk membuka sebuah kelas pendidikan khas di Hospital Perempuan Likas, dekat sini, awal tahun depan sebagai langkah bijak dan wajar disokong semua pihak.

Naib Presidennya Luis Lidong berkata ia menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan terutama Jabatan Pelajaran dalam membela nasib kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah akibat masalah kesihatan dan terpaksa tinggal di hospital untuk tempoh yang panjang.

"Pekadin menyokong usaha murni ini, dan kami berharap kelas serupa juga diwujudkan di hospital lain yang sesuai di negeri ini.

"Apa juga inisiatif yang baik untuk rakyat termasuk soal pendidikan kanak-kanak kami alu-alukan dan langkah Jabatan Pelajaran Sabah mewujudkan kelas di Hospital Perempuan Likas benar-benar memenuhi aspirasi gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Luis berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yusin mengenai perkara itu di Sandakan Selasa.

Muhiddin dipetik sebagai berkata pewujudan kelas itu bertujuan membantu kanak-kanak yang masih dalam lingkungan umur bersekolah yang terpaksa berada di hospital kerana masalah kesihatan.

Difahamkan, kelas pendidikan khas yang bakal dibuka di Hospital Perempuan Likas merupakan yang pertama dilaksanakan di Sabah dan sukatan pelajarannya adalah sama seperti aliran perdana. - BERNAMA

Artikel Lain