suria

Kes Denggi Meningkat Bagi Tempoh 11 Hingga 17 September

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi di seluruh negara bagi tempoh 11 hingga 17 September lepas menunjukkan peningkatan iaitu daripada 311 kes minggu sebelumnya kepada 325 kes.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah itu meningkat selaras dengan pertambahan jumlah lokaliti wabak berkenaan yang dipantau.

"Sejumlah 51 lokaliti wabak dipantau seluruh negara berbanding 37 lokaliti sebelumnya. Terdapat dua lokaliti wabak tidak terkawal iaitu Rumah Panjang Jinjang Utara dan Taman Koop Polis Fasa 1 (di Kuala Lumpur)," katanya.

Menurutnya tahun ini 22 kes kematian denggi dilaporkan sehingga 10 September lepas, termasuk dua kematian melibatkan pelajar sekolah, dan 2,635 daripada keseluruhan 13,889 kes denggi yang dilaporkan dalam tempoh itu melibatkan pelajar sekolah.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif agensi swasta dan kerajaan untuk memperkasa masyarakat Malaysia menjadi individu yang proaktif dalam mengambil tindakan untuk menjaga kesihatan mereka.

Lokman seterusnya berkata Kementerian Kesihatan menyokong usaha sebuah syarikat swasta Sanofi Pasture yang melancarkan Program Denggi Patrol buat pertama kalinya di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia pada Selasa.

Menurut beliau program yang mensasarkan pelajar-pelajar sekolah rendah itu bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai bahaya denggi dan cara-cara pencegahannya.

"Program ini akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang dan kami berharap ia akan dapat menyebar mesej yang sama kepada anggota keluarga serta masyarakat setempat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain