suria

Derita Pemuda Hidap Buah Pinggang Dapat Perhatian Awang Adek

BACHOK: Rintihan seorang ibu terhadap nasib anak lelakinya yang terlantar sakit kerana penyakit buah pinggang bakal berakhir apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang simpati dengan nasib keluarga itu sedia menghulurkan sumbangan.

Awang Adek yang ditemui selepas melawat keluarga berkenaan di Kampung Pak Koja, Mahligai di sini berkata, Muhd Syahmin Che Abdul Razab, 24, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 2007 itu akan dibiayai sepenuhnya untuk menjalani rawatan pembedahan buah pinggang.

"Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa anak muda ini, justeru kita berhasrat untuk membiayai kos pembedahan buah pinggang Muhd Syahmin dan kita juga akan melangsaikan kos rawatan hospital yang tertunggak sebelum ini.

"Apa yang kita harapkan Muhd Syahmin terus kuat semangat untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan kita akan cuba membantu semampunya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Muhd Syahmin disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak 2007, terlantar sakit sejak beberapa bulan lalu dan kini terpaksa diuruskan sepenuhnya oleh keluarga.

Bagaimanapun sehingga kini keadaan kesihatan anak ketiga daripada enam beradik itu semakin teruk apabila perutnya semakin membengkak dan membesar sehingga tidak mampu bangun dan bergerak memaksa ibunya, Hatimah Ismail, 53, memohon bantuan untuk membantu Muhd Syahmin menjalani pembedahan.

Keluarganya yang kais pagi makan pagi kerana hanya bergantung rezeki daripada upah mengurut yang dilakukan suaminya, Che Abdul Razab Hamat, 60, tidak mampu untuk menanggung kos pembedahan yang dikatakan berjumlah RM20,000.

Selain mendapat perhatian Awang Adek, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain turut menziarah Muhd Syahmin dan menghulurkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Mereka yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menyumbangkannya pada akaun Maybank Muhd Syahmin iaitu 156169143647 atau menghubungi Muhd Syahmin di talian 012-9500592. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain