suria

Curi Pokok Karas: PGM Tahan Empat Lelaki

JOHOR BARU: Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua (PGM) menahan empat lelaki termasuk tiga warga Kemboja kerana menebang dan cuba mencuri pokok karas di Pulau Pisang dekat Pontian, di sini, Rabu.

Komander PGM Wilayah Dua, ACP Zainul Abidin Hasan, berkata kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi oleh anggota PGM dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian semasa menjalankan rondaan berskala di pulau berkenaan.

"Anggota PGM dan IPD Pontian pada mulanya terserempak dengan enam orang yang sedang menebang pokok tersebut. Bagaimanapun, hanya empat daripada mereka yang berjaya ditahan manakala dua yang lain berjaya melarikan diri ke dalam hutan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Katanya, pihaknya turut merampas lima kapak, dua parang, tiga pemutar skru, tujuh batang besi diubahsuai serta dua karung kayu karas yang siap dipotong daripada mereka.

Zainul Abidin berkata kesemua mereka dipercayai menceroboh tanah rizab kerajaan dan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara 1984 (pindaan 1993) kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

Katanya, pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana menghasilkan gaharu yang memberikan keuntungan berlipat kali ganda.

Kes berkenaan, katanya, diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Johor dan Pejabat Tanah Pontian untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain