suria

Pengusaha Ladang Rugi RM70,000 Pokok Getah Ditebang

GURUN: Seorang pengusaha ladang getah rugi kira-kira RM70,000 apabila pokok getah yang diusahakannya telah ditebang dipercayai akibat khianat di ladangnya di Bukit Kuang, Jeniang dekat sini awal pagi Selasa.

R. Kuppusamy, 50, dari Sungai Petani berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang saudaranya menerusi panggilan telefon kira-kira pukul 9 pagi sebelum bergegas ke ladangnya. "Pokok getah saya ini berkemungkinan ditebang pada tengah malam sebab masa itu tiada siapa tahu, dan mereka telah menyamar sebagai pihak berkuasa dengan meletakkan tanda awas dan bahaya ini supaya orang awam yang lalu lalang tidak mengesyaki kegiatan mereka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, Rabu.

Beliau berkata sebanyak 500 pokok getah yang kini berusia dua tahun setengah telah ditebang.

"Pokok getah yang selamat hanya 20 pokok sahaja, ini amat menyedihkan saya sebab untuk mengusahakan ladang getah ini pelbagai cabaran saya perlu tempuhi, saya bekerja siang dan malam bagi memastikan ladang getah ini berhasil," katanya.

Kuppusamy mendakwa, kejadian itu dipercayai berlaku kerana perbuatan khianat oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kejayaannya mendapatkan tanah rizab kerajaan bagi mengusahakan ladang getah terbabit. "Tanah seluas 1.44 hektar ini adalah rizab kerajaan tetapi saya telah memohon kepada pejabat tanah untuk mengusahakannya dan diluluskan pada 2007, saya ada dokumen sebagai bukti, saya tidak perlu takut.

"Saya dimaklumkan sekiranya saya membayar hasil bagi tempoh empat tahun, tanah ini akan menjadi milik saya, tetapi semua ini masih dalam proses, kawasan tanah ini dulu dipenuhi semak-samun," kata beliau.

Katanya beliau juga turut memiliki 2.59 hektar ladang getah berdekatan lokasi kejadian yang diusahakan secara turun-temurun oleh keluarganya.

"Kejadian ini bukan kali pertama, sekitar 2009 ladang getah saya yang 1.44 hektar ini pernah diceroboh lembu yang sengaja dilepaskan pihak yang dengki dengan saya dan ia makan anak pokok-pokok getah sampai habis dan saya rugi banyak jugak," katanya.

Sehubungan itu, Kuppusamy telah membuat laporan polis mengenai kejadian khianat terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda tengah hari semalam dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain