suria

Papa Gesa Kerajaan Segera Selesaikan Isu Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) pada Isnin meminta kerajaan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Indonesia tentang tuntutan sebenar mereka berhubung penghantaran pembantu rumah ke Malaysia untuk mengelak perkara itu terus menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Pemangku naib presiden Papa Jeffrey Foo berkata walaupun protokol mengenai pindaaan terhadap memorandum persefahaman (MoU) 2006 telah dimeterai pada Mei tahun ini, namun hingga kini tiada seorangpun pembantu ruamh dari republik itu memasuki Malaysia.

Katanya Papa difahamkan antara perkara yang menghalang Indonesia melaksanakan MoU berkenaan ialah faktor harga dan menurut industri di republik itu, harga yang ditawarkan bagi ejen di Indonesia terlalu rendah berbanding kos yang perlu mereka tanggung.

"Sekiranya wujud sebarang ketidakpuasan hati berhubung protokol pindaan MoU yang ditandatangani sebelum ini, maka ia perlu diselesaikan dengan segera oleh kedua-dua negara dalam semangat kejiranan untuk membolehkannya dilaksanakan.

"Kami harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh campur tangan dalam hal ini," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Foo berkata kelewatan menyelesaikan masalah itu menyebabkan majikan di negara ini menanggung perbelanjan besar untuk mengambil pembantu rumah apabila mereka terpaksa menggunakan kaedah pengambilan secara terus, manakala agensi pembantu rumah pula tidak mendapat bekalan tenaga kerja.

Beliau mencadangkan agar industri di kedua-dua negara menetapkan terma dan syarat masing-masing untuk menyelesaikan masalah itu dan membatalkan saja MoU yang telah dimeterai sebelum ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain