suria

Muhyiddin Ucap Takziah Kepada Keluarga Arwah Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman pada Sabtu merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia, Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri berkata berita menyedihkan itu tentunya menyentak perasaan rakyat Malaysia khususnya fraterniti media tempatan yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini di dalam negara.

"Saya yakin pemergian Noramfaizul bukan sahaja dirasai kaum keluarga Allahyarham bahkan industri kewartawanan media yang kehilangan seorang rakan yang dedikasi, tekun serta berani menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata selain anggota keselamatan, pengamal media juga banyak berkorban demi tugas tanpa mengira hari dan waktu terutamanya ketika musim perayaan, berjauhan daripada kaum keluarga dan orang tersayang.

"Seringkali pengorbanan mereka terbabit dipandang ringan. Sudah tiba masanya kita tunjukkan penghargaan dengan mendoakan keselamatan mereka," katanya.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

"Kami berharap anggota keluarga Allahyarham Noramfaizul sabar menghadapi kehilangan insan tersayang. Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Somalia lebih berhati-hati memandangkan keadaan yang membahayakan di negara benua Afrika itu.

Menurutnya, Kementerian Luar Malaysia akan membantu rakyat negara ini yang berada di Somalia untuk urusan perjalanan pulang.

"Saya difahamkan kumpulan media yang membuat liputan akan kembali ke tanah air esok dan mendoakan agar mereka semua selamat pulang ke Malaysia," katanya.

Allahyarham Noramfaizul merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat Charlie C-130 bersama-sama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 9 pagi esok. - BERNAMA

Artikel Lain