suria

Polis Sentul Selesaikan Kes Pembunuhan Pengawal Keselamatan

KUALA LUMPUR: Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan dalam cubaan pecah kereta ekoran penahanan dua suspek yang melarikan diri ke Dungun, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata suspek berusia 24 dan 32 tahun, yang mempunyai rekod jenayah lampau, diberkas pada pukul 7.30 malam semalam di bandar itu.

Katanya kedua-dua suspek mengaku menikam mangsa, Shariff Din, 47, dalam satu kejadian cubaan pecah kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Jinjang di sini, pada pukul 3.15 pagi, Sabtu lalu.

"Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek itu didapati positif dadah," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Aidilfitri bersama pegawai dan anggota di Balai Polis Jinjang, Selasa.

Zakaria berkata polis berjaya menjejak kedua-dua suspek itu selepas menahan empat orang termasuk seorang wanita sebelum itu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak menemui senjata yang digunakan oleh suspek dalam kes pembunuhan itu.

Dalam kejadian itu, mangsa ditikam ketika cuba menghalang dua lelaki daripada memecah sebuah kereta Proton Iswara milik rakan mangsa di tempat letak kereta di kawasan perumahan itu.

Mangsa, yang mengalami kecederaan parah di tulang rusuk kiri dan bahagian belakang badan, meninggal dunia di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain