suria

Kekalkan Tahap Disiplin Yang Tinggi Di Perantauan, Kata Panglima ATM

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain menggesa anggota tentera yang bertugas di perantauan supaya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi bagi menjaga nama baik Malaysia di mata dunia.

"Mungkin ada di kalangan anggota yang baru pertama kali menyambut Aidilfitri jauh di perantauan, namun ini bukanlah penghalang bagi mereka berkhidmat sebaik mungkin," kata beliau dalam pertemuan dengan anggota tentera Malaysia yang sedang bertugas di bawah panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Butiran mengenai lawatan itu dikeluarkan Kementerian Pertahanan di sini Selasa.

Beliau berada di Lubnan selama empat hari sejak Sabtu lepas dan menyambut Aidilfitri bersama hampir 800 anggota tentera di bawah Unifil.

Sepanjang lawatan itu Zulkifeli, antara lain, melawat kem yang melibatkan warga ATM di Tibnin, Harress, Bara'ashit dan Kaoukaba serta menyertai mereka dalam aktiviti mengacau dodol, membakar lemang, merebus ketupat dan mendirikan solat sunat Ailfitri.

Lawatan itu bertujuan untuk meninjau prasarana yang terdapat di kem Batalion Malaysia 3 di Tibnin dan Malcoy 7 yang berpengkalan di Kem Kaoukaba, Selatan Lubnan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain