suria

Liwat II: Proses Asing Sel Air Mani Tidak Ikut Prosedur

KUALA LUMPUR: Pakar asid deoksiribonukleik (DNA), Dr Brian Leslie McDonald memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa proses untuk mengasingkan sel air mani yang ditemui dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak dilakukan dengan mengikut prosedur yang betul.

McDonald yang berasal dari Sydney, Australia berkata demikian semasa memberi keterangan selaku saksi pembelaan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful.

Mohd Saiful, 26, adalah bekas pembantu peribadi kepada Anwar, 64, yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menjawab soalan peguam Ram Karpal Singh yang mewakili ahli politik itu, McDonald berkata, analisis yang dijalankan oleh ahli kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong tidak dapat memastikan jika air mani tersebut benar-benar tulen dan tidak berasal daripada sel yang lain.

"Sel manusia adalah sama dan bagi memastikan bahawa sel tersebut adalah dari air mani, ahli kimia perlu menjalankan proses pengasingan sel yang tidak dijalankan dengan betul," katanya.

Tambahnya, sel air mani adalah lebih berat yang diibaratkan seperti 'bola' manakala sel-sel lain adalah ringan seperti 'belon'.

Justeru itu, katanya, selepas proses pengasingan itu dilakukan, sampel tersebut perlu diletakkan di atas sisip kaca (slide) dan dilihat di bawah mikroskop untuk memastikan sel yang tertinggal adalah benar-benar sel sperma.

McDonald yang berpeluang untuk membaca laporan yang disediakan oleh Seah juga berpendapat bahawa keputusan yang diperoleh oleh ahli kimia wanita itu bersifat spekulasi dan lebih kepada tanggapan.

"Beliau tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif kerana beliau tidak mempunyai bukti untuk menyokong penemuan tersebut," tambahnya.

Saksi pembelaan keempat itu seterusnya berkata, penemuan yang dilakukan oleh Seah juga tidak dapat menolak sekiranya profil DNA yang ditemui di dubur Mohd Saiful adalah kepunyaannya sendiri.

"Jika proses penggasingan dilakukan dengan betul, kita boleh menolak kemungkinan itu," tambahnya.

Selain itu, penemuan Seah juga tidak dapat mengenepikan kemungkinan bahawa profil DNA Anwar yang diperoleh sebenarnya berasal daripada sel badan yang lain, dan bukannya air mani.

Pada keterangan lain, McDonald juga berkata, ketiadaan bukti bahawa sampel tersebut telah 'merosot' adalah tidak konsisten dengan sejarah sampel berkenaan.

Keterangan beliau sebelum ini menyatakan akan berlaku kemorosotan kepada sampel yang tidak dibekukan dengan serta-merta (suhu yang sesuai adalah negatif 20 darjah celsius).

Perbicaraan sebelum ini menyatakan bahawa sampel tersebut yang diperoleh dua hari selepas kejadian didakwa berlaku telah disimpan selama dua hari di dalam suhu bilik sebelum dihantar ke makmal.

Perbicaraan pada Jumaat juga menyaksikan pegawai penyiasat, Superintendan Jude Balacious Pereira yang merupakan saksi pendakwaan dipanggil semula untuk tujuan penandaan laporan perubatan Mohd Saiful yang dirampas daripada Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI).

Ketika disoal oleh peguam Karpal, yang merupakan peguam utama Anwar, Jude berkata, laporan tersebut dirampas pada pukul 2.45 petang, 6 Ogos 2008 daripada hospital terbabit.

Galeri awam mahkamah pada hari ini juga kurang sesak berbanding sebelum ini, mungkin disebabkan oleh perayaan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya menetapkan perbicaraan bersambung pada 19 hingga 23 September ini.

Anwar sedang membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat.

Beliau didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari 2010 manakala pada 16 Mei lalu, Anwar dipanggil untuk membela diri.

Artikel Lain