suria

Ibu Dan Kakak Stefanie Beri Sampel Ujian DNA

KUANTAN: Ibu dan kakak Stefanie Foray, warga Perancis yang dipercayai dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah gua di Pulau Tioman, tiba di sini hari ini bagi menyerahkan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Mereka tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan kira-kira 12 tengah hari tadi dengan ditemani pegawai dari Kedutaan Perancis serta anggota polis.

Turut kelihatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasegaran.

Sumber polis memberitahu Bernama pihak hospital telah mengambil sampel darah daripada kedua-duanya bagi dipadankan dengan DNA rangka manusia yang ditemui di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas.

Foray, 30, yang berasal dari Bour En Bresse, Perancis dilapor hilang sejak 8 Mei lepas.

Susulan laporan polis yang dilakukan keluarga wanita itu menerusi wakil Perancis di Singapura, siasatan mendapati Foray ke Pulau Tioman pada 10 Mei dan tidak pernah mendaftar keluar.

Siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan rangka manusia yang dipercayai Foray, ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di kampung itu pada 8 Ogos lepas. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain