suria

Dua Beradik Terbunuh Kereta Dirempuh Lori Di Parit

IPOH: Dua beradik terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM 8 Jalan Bota Kanan-Teluk Intan dekat Parit, Jumaat.

Aminuddin Kamaruddin, 42, dan adiknya, Mohamad Termizi, 37, berasal dari Batu 16, Kampung Lambor Kanan, Parit.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, kejadian berlaku pada 7 pagi apabila kereta yang dipandu Aminuddin dirempuh lori berkenaan di satu selekoh.

Beliau berkata kedua-dua beradik itu mati di tempat kejadian dan mayat mereka yang tersepit di dalam kenderaan telah dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Pemandu lori dan kelindan hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain