suria

Pemangku Pengarah Urusan UDA Holding Berhad Meninggal Dunia

KUANTAN: Pemangku Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad Muhammad Radzi Mohd Basar meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah hotel di sini Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supritendan Zulkifli Taha berkata kematian Muhammad Radzi, 53, disedari setelah beberapa orang kakitangannya gagal menghubungi beliau di bilik hotel berkenaan.

Muhammad Radzi cuba dihubungi oleh kakitangannya dari 7 hingga 7.30 pagi sebelum pergi memeriksa di bilik pada 8.30 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Katanya, polis terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan telah meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata polis menyifatkan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Allahyarham sepatutnya menghadiri majlis Pecah Tanah Pembangunan Resort Empat Bintang di Pekan, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan majlis pecah tanah itu tengah hari ini, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. - BERNAMA

Artikel Lain