suria

Jentera BN Sedia Hadapi PRU Ke-13

KUALA TERENGGANU:Jentera parti Barisan Nasional (BN) semua peringkat telah lama digerakkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata pimpinan parti juga telah digesa supaya turun padang bertemu rakyat, mungkin membayangkan tarikh pilihan raya umum semakin hampir.

"Mungkin dah ada petanda tertentu, kita tak tahu, tapi kita bersedia untuk menghadapinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Konvensyen BN Terengganu 2011 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Terengganu di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin Umno negeri, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta pimpinan parti komponen B Nnegeri itu.

Konvensyen dengan tema 'BN Di hatiku' berlangsung selama dua hari bermula semalam sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata konvensyen itu diharap dapat memberi impak positif kepada BN Terengganu.

Beliau berkata BN perlu menekankan konsep 'selling' dan 'marketing' ataupun jualan dan pemasaran supaya parti itu dekat di hati rakyat.

Jelasnya, pemimpin perlu secara individu turun berjumpa dengan rakyat dan mempromosi parti sebagai produk jualan mereka.

"Kita ada pesaing, pesaing kita adalah PAS, DAP, itu pesaing kita. Rakyat adalah pelanggan yang terpenting dan segalanya adalah untuk rakyat," katanya.

Katanya ia boleh dilaksanakan dengan menggunakan konsep 5P atau produk (Product) iaitu BN, Price (harga) atau kos program yang dilaksanakan, Place (tempat) atau di mana produk itu dijual seperti di kawasan peti undi yang kalah atau di kawasan atas pagar, Promotion (promosi) yang baik mengenai BN dan People (pelaksana) iaitu pemimpin dan anggota parti di bawah BN yang melaksanakannya.

Sementara itu, sebanyak 13 resolusi dirumuskan dalam konvensyen itu dan kesemua resolusi itu akan dikemukakan sebagai intipati utama yang perlu dijadikan asas untuk merangka gerakan dan gagasan ke arah pemerkasaan BN, memperkukuhkan pentadbiran kerajaan, memenangi hati rakyat dan pilihan raya umum ke-13.- BERNAMA

Artikel Lain