suria

Tiga Hospital Dipilih Laksana Projek Sekolah Dalam Hospital – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tiga hospital dipilih sebagai perintis projek 'Hati Nurani', iaitu sekolah dalam hospital, bagi memastikan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dari segi pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hospital berkenaan ialah Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Beliau berkata sekolah dalam hospital itu memulakan sesinya sejak awal minggu ini dengan dikelolakan kumpulan pertama guru dan pembantu pengurusan murid di hospital berkenaan.

Katanya, pada masa ini, Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan dan prasarana bagi sekolah tersebut, manakala Kementerian Pelajaran menyediakan guru terlatih yang mengajar mengikut sukatan pelajaran sedia ada di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Muhyiddin berkata projek itu, yang merupakan cetusan idea isterinya Puan Seri Norainee Abdul Rahman, adalah bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti.

"Seorang kanak-kanak yang sakit di hospital tidak berbeza daripada anak-anak kita sendiri, dan mereka berhak diberikan peluang untuk memenuhi kehendak mereka seperti anak kita sendiri. "Oleh itu, apabila isteri saya memberikan idea untuk menubuhkan sekolah dalam bentuk ini, saya menyambutnya dengan baik dan mahu memastikannya menjadi realiti," katanya ketika melancarkan Projek Hati Nurani pada malam Apresiasi 20 Tahun Yayasan Nurul Yaqeen di sini malam ini.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen, berkata beliau tidak menyangka yayasan itu mampu bertahan lebih 20 dekad.

"Ini satu tempoh yang bukan singkat, khususnya dalam memperjuangkan serta membela martabat pendidikan dan falsafah pembangunan insan serta negara," katanya.

Beliau berkata antara objektif penubuhan yayasan itu ialah membantu golongan muda khususnya mengembangkan dan meningkatkan kualiti peribadi serta kerjaya mereka bagi memastikan generasi akan datang berkemahiran tinggi, cekap, mempunyai fokus dan berdedikasi.

Pada majlis itu, beberapa individu dan badan korporat menghulurkan sumbangan berjumlah RM2.8 juta kepada yayasan berkenaan. – BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain