suria

Proses Daftar Pekerja Asing Ditangguh

KUALA LUMPUR: Proses pendaftaran besar-besaran pendatang asing bagi "program 6P" yang sepatutnya bermula Isnin telah ditangguhkan kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein belum berpuas hati dengan tahap persediaannya.

"Walaupun (perancangan) berada di tahap yang bagus tapi belum sampai tahap yang puaskan hati saya sendiri.

"Oleh itu, saya harap apabila kita nak mulakan program 6P ini, semua yang terlibat termasuk pekerja asing, majikan dan pihak negara ketiga telahpun tersusun supaya tidak berlaku kekangan bila kita nak mulakan operasi nanti," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Isnin.

Hishammuddin berkata program 6P itu mungkin dapat dilaksanakan tidak lama lagi sekiranya semuanya mengikut perancangan.

"Mereka mesti yakinkan kepada saya sendiri dan akhirnya saya terpaksa yakinkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa semuanya sudah disusun dan tidak ada masalah bila kita laksanakan nanti," katanya.

Muhyiddin pada 22 Jun lepas berkata kerajaan akan melaksanakan proses pendaftaran besar-besaran bermula 11 Julai ini bagi merekodkan jumlah pekerja asing dan pendatang tanpa izin yang berada di Malaysia.

"Saya percaya dari segi sistem biometrik tak ada masalah. Saya juga berharap bahawa isu-isu yang berkaitan dengan kementerian-kementerian yang bertanggungjawab antaranya perladangan, kesihatan, pelancongan dan pembantu rumah, mereka memahami proses dan kaedah yang kita lakukan," kata Hishammuddin.

Program 6P meliputi enam pelan tindakan melibatkan pendatang asing tanpa izin iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran.

Program itu bertujuan mengumpul data mengenai pendatang asing tanpa izin di negara ini seperti di mana mereka bekerja, dengan siapa dan berapa gaji yang diterima serta beberapa maklumat lain yang diharap dapat membantu ke arah mengatasi isu sosial dan jenayah yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu. - BERNAMA

Artikel Lain