suria

Ahmad Sarbani Tertekan Ketika Berada Di Pejabat SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan memberitahu Mahkamah Koroner di sini Selasa bahawa Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed berada dalam keadaan yang amat tertekan ketika berada di pejabat suruhanjaya itu pada 6 April lepas.

Penolong Penguasa Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad, 51, saksi ke-17 dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berkata, keadaan itu berlaku selepas Allahyarham menghubungi wakil dari Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd iaitu Wan Zainalabidin Wan Zaki menggunakan telefon bimbitnya.

Selepas panggilan dibuat, Allahyarham meletakkan telefon dan terus meletakkan kepalanya di atas meja sambil tangannya menggosok kepalanya dalam masa kira-kira dua minit, kata Sheikh Niza yang pada masa itu sedang duduk di hadapan Allahyarham.

"Saya tengok dia amat tertekan dan tegang. Dia dilihat mendiamkan diri dan tidak cakap apa-apa pada saya," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Sheikh Niza berkata, sebelum itu Pegawai Penyiasat SPRM Abdul Ghani Ali bertanyakan kepada Ahmad Sarbaini sama ada beliau mempunyai alamat Schenker dan nombor telefon Wan Zainalabidin dan meminta Allahyarham menghubunginya.

Katanya, Allahyarham seolah-olah berada dalam keadaan terpaksa ketika diminta menghubungi Wan Zainalabidin dan beliau tidak berapa jelas dengan perbualan antara Allahyarham dengan Wan Zainalabidin tetapi ada mendengar Allahyarham berkata: "Datang ya".

Sheikh Niza berkata pada 6 April, Ahmad Sarbaini datang ke pejabat itu tanpa diminta dengan tujuan untuk menukar kenyataan yang telah diambil pada 4 April lepas, dan apabila ditanya mengapa beliau ingin berbuat demikian, Allahyarham hanya memaklumkan dia tertekan.

"Ketika Allahyarham berada dalam bilik saya di aras tiga bangunan itu, saya nampak dia memegang telefon dan kerap tengok telefon itu seolah-olah ada sesuatu. bila saya ambil telefon itu tertera perkataan Schenker pada skrin telefon bimbit.

"Saya teringatkan Zainal apabila melihat perkataan Schenker dan ini membuktikan mereka ada hubungan. Jadi saya memberitahu Allahyarham saya akan menyita telefon bimbit itu," katanya.

Ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bagaimana Allahyarham boleh membuat pengakuan salahnya ketika rakaman percakapan diambil pada 4 April lepas, Sheikh Niza berkata:"Saya menyuruh Allahyarham menceritakan pengalamannya dalam Kastam".

Sheikh Niza berkata, ketika itu beliau bertanyakan kepada Ahmad Sarbaini: "Sebagai pegawai Kastam yang selalu berurusan dengan ejen, tak kan tak dapat apa-apa walaupun sedikit".

Beliau menambah, ketika itu Ahmad Sarbaini mengakui beliau ada menerima wang ehsan daripada Ah Seng dari Syarikat TopMark Shipping antara RM30 hingga RM200 sebulan dan daripada Wan Zainalabidin dari Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd antara RM50 hingga RM100 sebulan.

"Allahyarham memaklumkan kepada saya bayaran itu dibuat di kedai kopi, di luar pejabat Kastam dan saya agak terkejut dan tidak sangka Allahyarham akan membuat pengakuan berkenaan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya Mohamad Abazafree apakah perasaannya selepas mendapat tahu mengenai kematian Ahmad Sarbaini, Sheikh Niza berkata: "Saya menangis dan sedih sebab saya kenal dengan Allahyarham."

Menurut Sheikh Niza lagi, Allahyarham telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat SPRM, Abdul Ghani Ali ketika memberi keterangan berkata sejak bertugas dengan SPRM selama 30 tahun, ini pertama kali beliau terdengar ada orang mengaku menerima rasuah.

Abdul Ghani, 57, yang juga saksi ke-18 inkues, berkata ketika rakaman percakapan diambil oleh Sheikh Niza pada 4 April, Ahmad Sarbaini mengaku menerima wang daripada dua ejen, masing-masing dari Syarikat TopMark dan Syarikat Schenker.

"Saya hairan kerana ketika rakaman percakapan diambil pada 2 April, Allahyarham kata beliau tidak terima wang rasuah dari TopMark dan Allahyarham maklumkan beliau tidak kenal "Ah Chui" dari syarikat itu dan hanya mengenali "Firdaus", tetapi apabila disemak dari syarikat berkenaan, tiada nama yang disebutkan olehnya.

"Dan yang paling mengejutkan saya timbul nama Schenker yang tiada dalam senarai ejen penghantaran yang pihak SPRM siasat...Ini menimbulkan tanda tanya pada saya," jelas Abdul Ghani.

Ketika ditanya Mohamad Abazafree mengenai Ahmad Sarbaini yang ingin menukar pengakuannya, Abdul Ghani berkata: "Berdasarkan pengalaman saya, jika seseorang ingin menukar kenyataan yang telah dibuat, kita akan minta dia buat surat atau representasi kepada bahagian pendakwaan perundangan atau ketua pesuruhjaya untuk pertimbangan".

Abdul Ghani berkata, selepas berbincang dengan Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohamad Fauzi Husin, mereka bersetuju supaya tidak membenarkan pengakuan itu ditukar tetapi meminta Allahyarham menulis surat.

Beliau berkata kepada Allahyarham: "Encik Mat (Ahmad Sarbaini), saya menerima arahan daripada pegawai atasan, Encik Mat tidak boleh tukar pengakuan tapi boleh tulis surat kepada SPRM ataupun kepada saya sendiri, dan ketika itu saya lihat Allahyarham menganggukkan kepalanya".

Abdul Ghani berkata, beliau meminta supaya Allahyarham menunggu dahulu dan tidak dibenarkan pulang kerana kemungkinan akan berlaku pertembungan di antara Ahmad Sarbaini dengan Zainal, yang ketika itu dalam perjalanan ke pejabat SPRM.

"Pada pendapat saya, sementara satu pihak datang, satu pihak lagi tidak boleh dilepaskan..tetapi ini tidak bermaksud kita akan mempertemukan kedua-duanya," katanya.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, beliau terdengar Penolong Penguasa Henrita Serai Anak Andrew Lenggie memberitahu Penolong Penguasa Kamal Awang Besar, Ahmad Sarbaini sudah berada di bawah ketika Henrita keluar dari bilik pantri aras tiga bangunan itu.

"Dalam hati saya terdetik, macam mana dia (Ahmad Sarbaini) boleh ada di bawah dan di kepala saya terbayang-bayang Ahmad Sarbaini masih mencari pintu keluar dan masih hidup.

"Saya masuk ke dalam pantri dan apabila menjenguk ke tingkap yang berdekatan dengan sinki, saya nampak Allahyarham tertiarap kaku dan saya nampak darah berdekatan dengan mangsa," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.

Artikel Lain