suria

Suri Rumah Parah Diragut Di Kota Baharu

KOTA BAHARU: Seorang suri rumah cedera parah selepas ditendang oleh seorang lelaki yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal dalam kejadian di Kampung Lundang di sini, Ahad.

Ketua Daerah Polis Kota Baharu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azham Othman berkata mangsa Rohimah Che Dollah, 44, patah tangan kiri, luka parah di kepala dan koyak bibir akibat terjatuh dalam kejadian pada 7.15 pagi.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan kini berada di dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dengan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Baharu di sini, Isnin.

Menurutnya Rohimah yang menunggang motosikal sendirian untuk menziarahi anaknya yang hendak bersalin tiba-tiba didatangi oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal daripada arah belakang.

Beliau berkata lelaki yang membonceng motosikal itu telah menarik beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul hadapan sebelum berlaku tarik-menarik dengan mangsa.

"Ketika berlaku tarik-menarik itu mangsa telah ditumbuk oleh lelaki yang membonceng dan dia telah menendang mangsa menyebabkan mangsa terjatuh sehingga tidak sedarkan diri," katanya.

Mohd Azham berkata akibat tendangan itu mangsa yang parah menerima beberapa jahitan di mulut, kening, kepala dan kerugian wang tunai sebanyak RM83 di samping beberapa dokumen penting.

Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang menyebabkan samun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain