suria

KPN: Polis Telah Bertindak Guna Pendekatan Paling Minimal Ke atas Kumpulan Yang Berarak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis telah menggunakan pendekatan yang paling minimal dalam mengawal perarakan haram di ibu kota pada Sabtu dengan hanya melepaskan gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan mereka setelah amaran diberikan agar bersurai tidak diendahkan.

Beliau juga berkata, kawalan secara sistematik dan profesional juga telah membolehkan pihak polis mengawal keadaan.

“Walaupun pasukan keselamatan menerima provokasi daripada mereka yang berarak tetapi kami telah menggunakan pendekatan yang paling minima dan tembakan gas pemedih mata serta semburan air yang minima bagi mengawal keadaan.

“Tetapi jika ada bukti yang menunjukkan pihak polis bertindak kasar atau bertindak kejam ke atas mereka yang berarak, saya minta ia dibuktikan dan dibuat laporan dan kita akan mengambil tindakan yang sewajarntya jika ada kebenaran," ujarnya lagi.

Ismail berkata, secara keseluruhannya, sejumlah 1,401 orang telah ditahan termasuk 1,273 lelaki, 115 wanita, 12 remaja perempuan dan lelaki.

Katanya para penunjuk perasaan mula berkumpul pada sekitar jam 9 pagi tetapi jumlah mereka meningkat menjelang tengah hari.

Beliau menjelaskan, walaupun berlaku perarakan di sana sini tetapi polis telah berjaya mengawal keadaan dan menjelang jam 5 petang, mereka yang mengambil bahagian dalam perarakan itu telah bersurai.

Ismail juga berkata, kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol)di Jalan Semarak untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan.

“Malah di sana, kami telah menjaga kebajikan dan keperluan mereka dengan sebaik mungkin di mana mereka telah diberikan makanan, rawatan perubatan malah tempat khas untuk menunaikan sembahyang," kata Ismail.

Ismail juga berkata, sekatan jalan raya menuju ke bandar raya telah ditamatkan pada jam 7 malam Sabtu.

Pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya ke semua pintu masuk ke bandar raya bermula jam 12 tengah malam Jumaat.

Ismail juga turut menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada dalam senarai mereka yang ditahan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis tidak pernah melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam kompaun sebuah hospital swasta, iaitu Hospital Tung Shin berhampiran Pudu untuk menyuraikan orang ramai.

“Itu adalah tidak benar, Ia bukanlah sebahagian daripada prosedur operasi standard polis. Ia hanyalah khabar angin atau tuduhan liar...malah saya telah membaca beberapa laman blog dan laman web yang menyebarkan berita palsu mengenai tindakan pihak polis dan menyebarkan berita palsu, tidak benar dan khabar angin," tegas Ismail lagi.

Ketua Polis Negara juga melahirkan rasa kesal dan kecewanya kerana terdapat ibu bapa yang sengaja membawa anak kecil mereka ke kawasan perarakan sekaligus meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.

Artikel Lain