suria

Dadah: Dua Sahabat Dipenjara 14 Tahun

GEORGE TOWN: Dua sahabat, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana kesalahan memiliki dadah dan bahan racun pada pertengahan tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rizal Abdul Wahab, 32, dan Adi Taufiq Muhamad, 25, masing-masing dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah memiliki dihydrocodeine seberat 1.57gram di dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran PHW6044, di Jalan Permatang Pauh, Butterworth, pada 11 malam, 18 Jun 2010.

Bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 445.08 gram pada masa, tarikh dan di tempat yang sama, masing-masing dihukum penjara 14 tahun dan 10 sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan iaitu memiliki bahan racun prometazine dan pseudoephedrine pada masa, tarikh dan di tempat yang sama, Mohd Rizal dan Adi Taufik, masing-masing dihukum penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu menjalani hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan selepas Hakim Datuk Zamani A. Rahim mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh tangkap. Bagi pertuduhan memiliki dihydrocodeine, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 dan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan memiliki kanabis, mereka didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan rotan.

Bagi pertuduhan memiliki bahan beracun, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shakila Banu I. Sheik Allaudeen manakala Mohd Rizal diwakili peguam S.Anthony Samy dan Adi Taufiq diwakili peguam R.S.N Rayer. -BERNAMA

Artikel Lain