suria

Umno Kedah Mula Gerak Jentera Pilihan Raya

LANGKAWI: Badan Perhubungan Umno Kedah mula mengerakkan jentera pilihan raya dengan mengarah semua bahagian menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya peringkat peti undi dalam persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata penubuhan jawatankuasa sebanyak 672 peti undi di seluruh Kedah dapat diselesaikan dalam minggu pertama atau kedua bulan ini.

"Kita telah mengeluarkan arahan dan peruntukan kepada semua bahagian Umno Kedah supaya mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa itu", katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan itu di sini malam Ahad.

Beliau berkata pada masa sama, jawatankuasa peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah ditubuhkan.

"Bilik-bilik gerakan telah diwujudkan peringkat negeri dan bahagian dengan dilengkapi maklumat lengkap seperti pengundi dan daerah mengundi," katanya.

Ahmad Bashah berkata senarai pengundi terkini yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah diedar ke semua bahagian.

"Selain itu Jawatankuasa peringkat pusat akan melawat Kedah yang dijadual pada pertengahan bulan ini untuk melihat persiapan negeri ini," katanya. Mengenai lawatan Najib ke Kedah pada 28 Julai ini, beliau berkata perbincangan mengenainya telah dibuat dan aturcara lawatan akan dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mendapat persetujuan. - BERNAMA

Artikel Lain