suria

Warga Nigeria Didakwa Merompak Guna Pistol Mainan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan melakukan rompakan dengan bersenjatakan sepucuk pistol olok-olok.

Ebegda Desmond Odemeo, 25, yang merupakan seorang penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang warga Indonesia, Febriyanto dengan melarikan 15 barangan milik mangsa yang terdiri daripada komputer riba, telefon bimbit, alat kelengkapan mandian lelaki, pelbagai alat elektronik dan wang tunai.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah A-3-9, Kondo Angkasa, Taman Connought, Cheras di sini pada pukul 2 petang, 16 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa atas pertuduhan di bawah Seksyen 32 (2) Akta Senjata Api 1960 kerana menggunakan pistol mainan untuk merompak terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun sebagai tambahan penalti jika disabitkan bersalah melakukan samun bersenjata.

Dia juga menghadapi pertuduhan ketiga, iaitu bagi kesalahan menetap melebihi tempoh masa yang ditetapkan, iaitu 17 Mei 2010 di nombor 8-4-2, Flat Taman Wilayah Jinjang, Sentul, di sini pada pukul 12.45 tengah hari, 21 April lalu.

Pada prosiding itu, Mohamad Sekeri membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh atas alasan dia warga asing.

Beliau menetapkan 29 Julai ini sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Artikel Lain