suria

Ibu Tunggal Didakwa Dera Anak Kandung

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin terhadap tiga pertuduhan mendera anak kandung lelakinya berusia lapan tahun, pada November lepas.

Lai Sok Ping, 37, didakwa merotan kedua-dua paha Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di No.18A, Jalan Klang off Jalan Sungai Besi, di sini, pada pukul 10.30 malam, 27 November 2010.

Wanita itu, yang bekerja sebagai promoter jualan, turut didakwa meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, Lai didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Atas tuduhan ketiga, Lai didakwa membiarkan kanak-kanak tersebut tanpa pengawasan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes itu.

Lai diwakili oleh peguam Wan Azmir Wan Majid manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain