suria

Freedom Flotilla II Tiada Campur Tangan Politik

SEPANG: Presiden Lifeline4Gaza, Dr Noorazman Mohd Samsuddin yang mengetuai kumpulan sukarelawan Malaysia bagi menyertai misi kemanusiaan antarabangsa 'Freedom Flotilla II' menafikan terdapat campur tangan politik dalam misi tersebut.

Beliau juga berkata kehadiran Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam misi itu adalah mewakili anggota Parlimen Malaysia, dan bukannya mewakili parti politik yang disertainya.

"Misi ini adalah satu perjuangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia termasuk Malaysia, dan tiada sebarang unsur politik dari mana-mana pihak," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Athens, Greece untuk menyertai misi itu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noorazman berkata jemputan untuk menyertai misi tersebut dikeluarkan kepada kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat, namun hanya Khairy yang bersetuju untuk menyertainya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS dilaporkan menarik diri daripada misi itu kerana merasakan wujud unsur campur tangan Umno dan BN.

Sementara itu, Khairy berkata misi kemanusiaan itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia merupakan anjuran NGO dan bukannya BN.

"Saya dijemput atas tiket Anggota Parlimen kerana negara lain pun turut disertai oleh Anggota Parlimen mereka," katanya.

Seramai 10 sukarelawan Malaysia termasuk beberapa pengamal media akan menyertai lebih 1,000 sukarelawan daripada lebih 600 NGO dunia untuk belayar ke perairan Gaza dengan menaiki 13 kapal penumpang.

Tiga dari kapal itu merupakan kapal kargo yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan berupa bekalan perubatan, peralatan sekolah dan bahan binaan seperti simen kepada 1.5 juta rakyat Palestin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain