suria

Kementerian Kesihatan Arah Pasukan Penyelenggaraan Di HPP Ditukar

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan telah mengarahkan pihak kontraktor penyelenggaraan Hospital Pulau Pinang (HPP) menukar pasukan penyelenggaraan dengan kadar segera bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan hospital itu lebih terjamin.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tindakan itu bagi memastikan penyelenggaraan di kawasan HPP dilaksanakan mengikut garis panduan dan tidak mengambil remeh terhadap tahap keselamatan awam.

Beliau berkata kementerian mengakui HPP adalah bangunan lama dan memerlukan penyelenggaraan yang lebih sempurna dan lebih kerap daripada semua aspek.

"Ini adalah satu kecuaian pihak penyelenggaraan...mereka perlu mempunyai cara kerja dan tahap keselamatan yang tinggi...perlu ambil langkah keselamatan yang paling baik untuk keselamatan orang awam," katanya kepada pemberita selepas melawat Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob yang sedang dirawat HPP di sini Isnin.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff.

Jumaat lepas, Ayub dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah lubang longkang yang tidak tertutup berukuran tiga kaki persegi ketika sedang berjalan di kawasan koridor HPP dan mengakibatkan beliau cedera di bahagian kaki kanan dan anggota badan.

"Saya ambil berat tentang penyelenggaraan hospital dan ia perlu dijaga dengan baik, terdapat beberapa kes yang berlaku di sini hingga seketika dulu pernah mengakibatkan siling jatuh dan saya tidak berasa gembira dengan keadaan itu, jadi saya akan memastikan bahawa kerja-kerja pembaikan dan keselamatan orang awam dijaga dengan baik," kata Liow.

Katanya kementeriannya telah menerima surat daripada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kejadian itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain