suria

Razali Sangkal Wujud Agenda Tubuh Parlimen Belia

MUAR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa kerajaan mempunyai agenda di sebalik penubuhan Parlimen Belia sempena perhimpunan sejuta belia di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau menegaskan, penubuhan Parlimen Belia yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah untuk memberi peluang kepada golongan belia bersuara atau menyampaikan pendapat mereka mengenai sesuatu perkara mengikut saluran yang betul.

"Jika ada Parlimen Belia, kita boleh dengar suara belia bukan dari suara-suara di tepi jalan sebagaimana diamalkan di negara-negara maju," kata beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu.

Razali berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Belia Parlimen Muar di perkarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, Sabtu.

Sebelum itu, beliau turut berbasikal bersama 250 orang belia sejauh 12 kilometer mengelilingi bandar ini, salah satu daripada beberapa acara sempena karnival dua hari yang akan berakhir esok.

Menurut Razali, melalui parlimen itu para belia boleh menyuarakan pendapat berkaitan penggubalan undang-undang dan adalah tidak mustahil pandangan mereka itu akhirnya akan menjadikan mereka golongan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara.

Beliau berkata para belia di negara ini perlu dipersiapkan diri dari sekarang supaya mereka yang merupakan 42 peratus daripada keseluruhan penduduk menjadi pemangkin kepada tranformasi negara.

Mengenai sasaran penglibatan belia kepada dua juta belia pada perhimpunan di Putrajaya tahun depan, Razali berkata usaha untuk mengekalkan momentum kesediaan belia untuk menyertai perhimpunan tersebut perlu diusahakan dari sekarang.

Selain daripada bilangan penglibatan belia, tempoh aktiviti belia sempena perhimpunan tersebut akan dipanjangkan kepada seminggu berbanding tiga hari pada tahun ini.

Bagi tujuan itu, katanya, satu penyusunan kegiatan sepanjang minggu akan diwujudkan untuk dijadikan garis panduan bagi menjayakan perhimpunan tersebut. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain