suria

Pilihan Raya Masjid Tidak Perlu Kerana Ia Bawa Perpecahan Di Kalangan Umat Islam

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilihan anggota jawatankuasa masjid melalui pilihan raya tidak perlu diadakan kerana ia sebenarnya akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Abdullah berkata pemilihan itu sepatutnya dilakukan mengikut kelazimannya sebagaimana yang dijalankan sebelum ini kerana kaedah itu tidak pernah menimbulkan sebarang masalah besar.

"Lebih elok pemilihan dilakukan seperti sebelum ini kerana keputusan memilih jawatankuasa masjid dijalankan secara musyawarah dalam mesyuarat jawatankuasa masjid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas di sini, Ahad.

Abdullah berkata demikian bagi mengulas isu Pemilihan Jawatankuasa Masjid yang akan diadakan secara pilihan raya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menggantikan cara lama.

Abdullah yang juga Ketua Umno Bahagian dan Anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau juga bimbang kerana jika pilihan raya masjid tetap diadakan, ia akan memberi kesan negatif kepada kariah masjid.

"Bila ada pilihan raya masjid saya bimbang akan timbul isu berpuak-puak dan ketegangan sesama ahli kariah dan ia pasti memberi imej yang tidak baik kepada institusi masjid," katanya.

Abdullah berkata paling membimbangkan jika berlaku campur tangan pihak tertentu dan wujud anasir politik dalam pilihan raya masjid.

"Kita nak supaya masjid tidak diganggu oleh politik dan kalau pemilihan jadi, ia pasti seperti parti politik, maka kenteraman dan kesentosaan masjid akan terganggu dan ini sudah pasti tidak membawa kebaikan kepada ahli kariah," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain