suria

Pasangan Warga Emas Guna Air Perigi Sejak 50 Tahun

JITRA: Sepasang suami isteri warga emas dari Kampung Pulau Nyior dekat sini terpaksa menggunakan air telaga untuk kehidupan harian mereka sejak 50 tahun lepas berikutan tidak mendapat bekalan air bersih.

Osman Ali, 74, yang kudung kaki kirinya, berkata dia dan isterinya Aishah Abdullah, 73, hanya menggunakan air telaga yang digalinya di hadapan rumah untuk melakukan aktiviti harian seperti mandi, mencuci baju dan pinggan mangkuk.

"Kalau air untuk minum dan memasak pak cik ambil dari rumah jiran-jiran hasil belas ihsan mereka dan tiap-tiap hari pak cik dan isteri menggunakan kekuatan yang ada untuk mengangkut air.

"Pak cik dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan. Wang itu hanya cukup untuk perbelanjaan harian kami suami isteri sahaja. Lima tahun lalu pak cik memang impikan mahu pasang paip bekalan air bersih tapi tak mampu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, Ahad.

Osman yang pernah bekerja sebagai buruh kasar, terpaksa dipotong kaki kirinya akibat kanser tulang pada 2001 dan kini tidak boleh melakukan kerja berat untuk mencari rezeki bagi membiayainya dan pasangan.

Terdahulu, Puteri Umno Bahagian Kubang Pasu menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan harian kepada pasangan warga emas terbabit bagi meringankan bebanan mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain