suria

Mahkamah Tribunal Pengguna Arah Kedai Bayar Ganti Rugi RM1

JOHOR BARU: Sebuah kedai elektronik di sini telah diarahkan oleh Mahkamah Tribunal Pengguna agar membayar ganti rugi sebanyak RM1 kepada pelanggannya kerana membuang bingkai lama satu alat permainan setelah mengantikannya dengan yang baru.

Goh Zhang Hao, telah membawa satu alat permainannya ke Sonic Enterprise di Kulai pada 22 Februari lalu untuk mengantikan bingkai lama yang rosak dengan bingkai baru berharga RM200.

"Apabila saya kembali ke kedai itu untuk mengambil semula alat permainan saya itu, pembantu kedai itu memberitahu mereka telah membuang bingkai lama setelah mengantikannya dengan yang baru.

"Saya tidak puas hati kerana mereka telah membuang bingkai lama itu tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran saya," katanya di hadapan Presiden Mahkamah Mohd Nasrim Mohd Salleh.

Goh berkata, dia mahu menuntut ganti rugi sebanyak RM200 daripada kedai itu. Pengurus kedai tersebut, Siow Chin How berhujah tidak menjadi amalan kedai mereka untuk menyimpan barangan lama pelanggan melainkan terdapat permintaan dari awal oleh pelanggan itu sendiri.

Bagaimanapun Mohd Nasrim menegaskan, kedai itu tidak patut membuang barangan lama milik pelanggan tanpa kebenaran kerana mungkin ada pelanggan yang mahu menyimpannya untuk tujuan kenang-kenangan.

Mohd Nasrim juga menegur Goh kerana membuat perbandingan bingkai lamanya itu dengan harga bingkai baru apabila menuntut jumlah yang sama sebagai ganti rugi.

"Melainkan anda dapat membuktikan bahawa bingkai lama anda itu bernilai RM200, saya tidak dapat mengarahkan kedai tersebut agar membayar ganti rugi sebanyak itu kepada anda.

"Sehingga itu , saya kini mengarahkan Sonic Enterprise agar membayar ganti rugi sebanyak satu ringgit dalam tempoh 14 hari kerana membuang bingkai lama itu," perintahnya.

Dalam satu kes yang berasingan, akauntan Ho Yun Shia, 40, memfailkan aduan untuk menuntut kembali RM5,000 ke atas sebuah pusat kecantikan setelah pusat itu ditutup dan dia tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan.

Ho memberitahu mahkamah tribunal, yang dia telah membayar Remosso Beauty Sdn Bhd RM5,000 pada 11 Ogos tahun lalu untuk menikmati beberapa perkhidmatan termasuk rawatan kecantikan muka, urutan dan pelbagai produk bernilai RM2,000 sebagaimana yang dijanjikan.

"Saya berasa teruja apabila diberitahu bahawa syarikat itu akan memulangkan semula RM560 setiap bulan untuk tempoh setahun sebagai insentif.

"Saya terpengaruh dengan janji-janji manis mereka dan tidak lama selepas itu pusat kecantikan tersebut ditutup," katanya sambil menegaskan yang dia sebagai pelanggan tidak dimaklumkan langsung tentang penutupan pusat berkenaan.

Mohd Nasrim kemudian mengarahkan syarikat itu agar memulangkan RM5,000 kepada Ho dalam tempoh 14 hari.

Artikel Berikut

Artikel Lain