suria

Pekerja Restoran Makanan Segera Mati Dibunuh

NILAI: Seorang pekerja sebuah restoran makanan segera ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah pangsa Cempaka Puri, Desa Cempaka, di sini Ahad.

Seorang jurucakap polis berkata mangsa Azizul Ali, 29, dari Tampin, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala oleh rakan serumahnya yang baru pulang dari bekerja.

"Mangsa ditemui mati dengan kesan hentakan dengan benda tumpul di bahagian belakang kepala beberapa jam sebelum mayatnya ditemui rakan serumah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semasa ditemui, muka mangsa ditutup dengan bantal dan beberapa barangan milik peribadi mangsa seperti komputer riba dan telefon bimbit hilang, pintu rumah mangsa yang terletak di tingkat dua itu turut mempunyai kesan umpilan, katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain