suria

Lima Mayat Dipercayai Mangsa Bot Karam Di Pengerang Ditemui - APMM

JOHOR BAHARU: Lima mayat dipercayai mangsa bot karam di perairan Pengerang dekat Kota Tinggi pada Rabu lepas, ditemui petang Sabtu dan Ahad.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata penemuan terbaru itu menjadikan jumlah yang dijumpai setakat ini meningkat kepada enam, manakala satu lagi masih hilang.

"Mayat pertama ditemui di selatan Tanjung Kapal, Pengerang pada 7.30 petang semalam, yang kedua ditemui penduduk kampung di Sungai Rengit pada pukul 8 pagi tadi dan yang ketiga ditemui pada pukul 9.50 pagi di selatan Tanjung Stapa," katanya dalam satu kenyataan, di sini Ahad.

Beliau berkata mayat keempat ditemui pada pukul 10.30 pagi di Teluk Ramunia dan yang kelima ditemui tiga jam kemudian di tenggara perairan berkenaan.

Kesemua mayat yang hampir reput itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, kata Zulkifli.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi pada Rabu lepas itu, 17 pendatang asing tanpa izin selamat manakala tujuh lagi hilang apabila bot pancung kayu yang mereka naiki karam dipukul ombak di selatan Tanjung Ayam, Pengerang.

Mayat pertama daripada tujuh yang hilang itu ditemui pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain