suria

Kesesakan Di KIK Johor Bharu Hanya Bersifat Sementara - Hishammuddin

MARAN: Kesesakan yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Johor Bharu ekoran masalah sistem pengimbasan cap jari biometrik hanya bersifat sementara dan akan ditangani dengan segera.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sistem yang baru diperkenalkan pada 1 Jun lepas itu mengambil sedikit masa untuk diperkemaskan.

"Saya boleh memberi jaminan kita akan buat apa saja dalam kemampuan kita untuk memastikan ia tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Maran di sini, Ahad.

Katanya, beliau mendapat laporan harian mengenai situasi di KIK dan setiap masalah yang timbul pada masa ini masih mampu untuk ditangani.

Beliau menegaskan penggunaan sistem berkenaan penting dalam memperketatkan urusan keluar masuk rakyat ke negara ini bagi menjamin keselamatan negara. "Sistem biometrik cukup penting bagi kita, saya pantau dan berkongsi maklumat dengan beberapa negara antarabangsa dan semua menyatakan dunia tanpa sempadan hari ini membawa ancaman tersendiri.

"Isu penyeludupan dadah, keganasan serta penyeludupan dan pemerdagangan manusia, jadi sistem keluar masuk negara mesti kita ketatkan," kata Hishammuddin.

Menurut laporan akhbar, dalam kesesakan di KIK semalam, pelancong terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 90 minit untuk memperoleh pelepasan imigresen akibat masalah sistem berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain